Perjalanan Dari Bandar Gua Musang Ke Cameron Highlands.

Sunday, 17 April 2011


Perjalanan dari arah Gua Musang ke Cameron Highlands adalah sejauh 112 km. Jalan ini adalah jalan penghubung Negeri Kelantan, Negeri Pahang sehinggalah ke Simpang Pulai, Perak - Laluan di sebelah Utara Timur Laut Semenanjung Malaysia. Perjalanan dari Gua Musang ke Cameron Highlands akan mengambil masa kira-kira satu jam setengah dengan kadar kelajuan biasa (90 km sejam). Di awal perjalanan anda akan melalui Kampung Kundur dan Kampung Panggong Lalat, Gua Musang. Permukaan jalan ini berkeadaan baik, bersaiz lebar dan selesa dilalui. Keadaan geografi jalan ini juga berbentuk mendaki dan menuruni bukit. Di sepanjang jalan anda  pasti akan terpesona dengan pemandangan gunung-ganang dan alam semulajadi yang dihiasi hutan hujan tropika yang menghijau dan juga liuk lentuk hutan buluh. Jalan ini agak lengang kerana tidak banyak kenderaan yang melaluinya. Ada ketika anda akan berkongsi jalan dengan lori balak. Anda akan menempuhi beberapa pos orang asli, seperti Pos Blau, Pos Hendrop dan Pos Brooke. Anda juga akan mendaki Tanah Tinggi Lojing, melalui kawasan tanaman sayur-sayuran di Blue Valley dan akhir sekali anda akan tiba di simpang kiri ke Kampung Raja iaitu pekan kecil pertama di Cameron Highlands yang akan ditempuhi sebelum tiba ke pusat tumpuan pelancong. Jalan Gua Musang-C.Highlands-Simpang Pulai ini adalah jalan pintas bagi penduduk di pantai timur semenanjung untuk ke Negeri Perak atau kawasan utara Malaysia tanpa melalui Lebuhraya Pantai Timur dan juga Bandaraya Kuala Lumpur. Pastikan juga kenderaan anda dalam keadaan baik, mempunyai bahanapi mencukupi, tools dan spare tyre kerana di sini juga tiada liputan talian telefon untuk anda menghubungi trak penunda ataupun rakan.


 
Laluan permulaan dari Bandar Gua Musang Kelantan.
Pengunjung dari Trengganu juga melalui jalan ini untuk ke Cameron Highlands.


 Ke kiri. Susur masuk ke Cameron Highlands. 
Dari sini anda akan melalui beberapa pos penempatan kaum pribumi.


 Jalan penghubung negeri Kelantan dan Pahang di sebelah Timur Laut.
Keadaan jalan yang baik dan selesa, tetapi awas ada beberapa tempat berlakunya kejadian tanah runtuh dan sedang dalam pembaikan.


Unik. Bentuk gunung seperti seorang wanita sedang tidur di dalam selimut dan menghadap ke langit.
Bagi kaum pribumi semenanjung ada kisah dongengnya sendiri.


 Pemandangan indah gunung-ganang Hutan Simpan Lojing di waktu pagi.


 Sebahagian dari unjuran tulang belakang Semenanjung Malaysia, Banjaran Titiwangsa.

 Hutan buluh yang mempersonakan. Sumber alam yang mendatangkan pendapatan bagi kaum pribumi.


Tanah Tinggi Lojing. Di sini anda akan bertembung dengan kabus dingin terutama ketika musim hujan.
Anda perlu menyalakan lampu kerana jarak penglihatan yang terhad.


Kampung Raja. Pekan pertama di daerah Cameron Highlands yang akan dilalui.


3 comments:

  • Anonymous says:
    19 February 2023 at 18:30

    Tq info yg sgt bermakna 🥰👍

  • Anonymous says:
    26 February 2023 at 03:18

    good information.. 👍🏻

  • Anonymous says:
    15 May 2023 at 07:57

    Jalan ok tak? Ada bengkang bengko

Post a Comment

Site Info

Statistik

Total Pageviews