Destinasi Cameron Highlands: Perubahan Tanah Rata

Friday, 13 July 2012

Pelancong yang ingin mengetahui asal-usul dan sejarah mengenai Tanah Rata mengunjungi Galeria Time Tunnel yang terletak di Brinchang.

Jarak Tanah Rata ke Brinchang sekitar lima kilometer (km).

Di Galeria Time Tunnel, pengunjung berpeluang membaca kisah-kisah menarik mengenai pekan Tanah Rata. Antaranya foto hitam putih yang mempamerkan suasana pekan berkenaan sekitar tahun 1930-an sehinggalah hari ini.

"Seperti pekan-pekan lain, Tanah Rata juga melalui proses perubahan dari segi pembangunan dan penambahbaikan. Sekitar tahun 1930-an, Tanah Rata ibarat sebuah pekan ala koboi.

"Ia hanya terdiri daripada deretan kedai yang diperbuat daripada kayu. Jalan raya tidak bertar dan penduduk pada waktu itu menjalankan aktiviti harian dengan menaiki basikal atau motosikal," terang pemilik Galeria Time Tunnel, See Kok Suen, 49.

Bagaimanapun, sekitar tahun 1940-an, berlaku perubahan pada deretan kedai di Tanah Rata apabila bangunan tersebut didirikan menggunakan batu-bata.

Pada masa itu, rata-rata jalan utama di Cameron Highlands berlantaikan tanah merah. Hari ini ia telah diturap dengan tar. Sebahagian besar penduduk Cameron Highlands lebih selesa menggunakan pacuan empat roda manakala sebahagian besar hanya berkemampuan memiliki basikal yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM80. Kebanyakan basikal berkenaan merupakan jenama antarabangsa seperti Raleigh dan Robin Hood.


Bank Pertama

Lewat 1940-an, tiada banyak perubahan berlaku di Tanah Rata kecuali kewujudan bank Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) pada tahun 1945. Ia merupakan bank pertama di Cameron Highlands yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

"Ramai yang terkejut bagaimana bank HSBC boleh dibuka di sebuah pekan kecil padahal umum mengetahui biasanya ia beroperasi di bandar besar. Pembukaan bank ini bertujuan untuk kemudahan residen Eropah yang bekerja dan bercuti di Cameron Highlands melakukan transaksi kewangan.

"Selain bank HSBC, pada tahun yang sama, Tanah Rata juga mempunyai sebuah hospital iaitu Hospital Militari British," terang See yang mengambil keputusan membuka sebuah muzium masa pada tahun 2007 bagi menyimpan serba sedikit peninggalan sejarah mengenai Cameron Highlands.

Adakah Cameron Highlands hanya sesuai dikunjungi dalam kalangan mereka yang berkeluarga? Bagi Aziha Abdul Aziz, 30, dia gemar bersantai di Cameron Highlands bersama teman ataupun keluarga.

Destinasi percutian yang kaya dengan khazanah hutan semula jadi itu menjadi pilihan Aziha untuk berehat serta melupakan seketika hiruk-pikuk kota.

Aziha yang menetap di Petaling Jaya, Selangor itu menjelaskan, keistimewaan Cameron Highlands terletak pada cuacanya yang sejuk dan keindahan persekitaran yang terjaga meskipun terdapat banyak pembangunan.

"Cameron Highlands mengalami banyak transformasi dari aspek pembangunan moden terutamanya pekan Tanah Rata. Dulu lain, sekarang pun lain. Saya cukup tertarik dengan sejarah dan cerita tentang Tanah Rata yang dipamerkan di Galeria Time Tunnel.

"Sebelum ini terdapat beberapa buah kedai sahaja di Tanah Rata tetapi kini ia semakin maju seiring dengan peredaran semasa. Boleh dikatakan segala-galanya ada di sini," terang Aziha yang teringat zaman kanak-kanaknya apabila melihat bahan pameran yang terdapat di Galeria Time Tunnel.

Dalam pada itu, seorang pelancong dari Australia, Greg Don menyifatkan Cameron Highlands merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan menenangkan fikiran. Pertama kali menjejakkan kaki pada awal Februari lalu, Don terpaku dengan kecantikan flora dan fauna yang terdapat di tanah tinggi itu.


 Dia tidak menyangka kawasan tanah tinggi bersuhu dingin itu masih kekal hijau dan menyajikan persekitaran yang bersih meskipun aktiviti pembangunan tiada bernoktah.

"Perkara yang paling saya kagum ialah struktur jalan rayanya yang baik dan dikelilingi pepohon hijau. Sistem pembangunannya juga agak tersusun.

"Brinchang terkenal dengan lokasi yang menawarkan kepelbagaian makanan dan kedai serbaneka manakala Tanah Rata pula sebuah pekan yang menyediakan institusi kewangan, restoran, pusat informasi, klinik kesihatan dan stesen perhentian bas. Pengunjung juga berpeluang menikmati secawan kopi di kopitiam atau Starbucks di sini," terang Don yang melawat Cameron Highlands bersama isteri, Nicole Don, 54.

Menurut salah seorang staf dari agensi pelancongan Hill Top Travel & Tour Sdn. Bhd., Budi Utomo, 23, pekan Tanah Rata sentiasa menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat banyak kaunter agensi pelancongan di pekan tersebut.

Bagi mereka yang baru pertama kali berkunjung ke Cameron Highlands terutama pelancong asing, biasanya cenderung mendapatkan perkhidmatan agensi pelancongan untuk meneroka keindahan di tanah tinggi itu.

"Biasanya masyarakat tempatan suka bersiar-siar sendiri. Pelancong tempatan suka menghabiskan masa di ladang teh, ladang strawberi, membeli sayur-sayuran dan ke kedai kaktus.

"Pelancong asing lebih selesa sekiranya percutian mereka dibantu oleh pemandu pelancong. Mereka lebih suka memilih pakej kembara lasak seperti aktiviti merentas hutan, air terjun dan demonstrasi menyumpit," terang Bayu bahawa Disember dan Januari merupakan bulan paling sibuk bagi kebanyakan agensi pelancongan di tanah tinggi itu.

Sumber: Kosmo Online

0 comments:

Post a Comment

Site Info

Statistik

Total Pageviews