Destinasi Cameron Highlands: Dulu pekan kecil, kini tarikan pelancong

Wednesday 27 June 2012

 Sumber gambar: Kosmo online

KEPULAN kabus putih yang melitupi sebahagian besar kehijauan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands sudah cukup untuk menterjemahkan suasana pada awal pagi itu.

Dengan persekitaran sebegitu adalah mustahil jika seseorang boleh keluar rumah hanya memakai sehelai kemeja tipis yang berlengan pendek tanpa baju sejuk atau stokin. Namun, itu cerita tiga dekad lalu. Kini, pakaian senipis itu sudah memadai walaupun pada awal pagi.

Suprumanian Karuppichu, 58, mengakui suhu di Tanah Rata, Tinggi Cameron, Pahang, tidak sama seperti dahulu. Seingatnya sekitar tahun 1960-an, tahap kesejukan di tanah tinggi itu mencecah antara 14 hingga 15 darjah Celsius.

"Dulu, kami wajib memakai baju sejuk beberapa lapis, sarung tangan dan topi untuk memanaskan badan. Di rumah pula, saya sentiasa memanaskan badan di depan pendiang api sambil menikmati minuman panas.

"Hari ini senario telah berubah. Cuaca di Cameron Highlands sudah tidak begitu sejuk. Mungkin disebabkan pembangunan pesat di daerah ini. Sebelum ini kawasan Tanah Rata dipenuhi dengan rimbunan pokok dan udaranya bebas habuk," kata Suprumaniam yang dibesarkan di Tanah Rata.

Menurut Suprumaniam, Tanah Rata merupakan pekan pertama yang dibuka dan beroperasi di Cameron Highlands. Penduduk setempat kerap berkunjung ke pekan itu kerana ia menjadi pusat pentadbiran, komersial dan komunikasi sekali gus menjadi tumpuan pelancong.

Bahkan, deretan kedai serbaneka, bank, pejabat pentadbiran, sekolah dan stesen bas utama yang menghubungkan penduduk di Cameron Highlands dengan masyarakat luar terletak di Tanah Rata.

 

"Tanah Rata hanya sebuah pekan kecil yang memberi kemudahan kepada masyarakat tempatan untuk melakukan urusan kewangan, peribadi dan membeli barang dapur. Selain bank, di sini juga terdapat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), klinik, kedai telefon bimbit dan taman istirehat," tambah Suprumaniam yang bekerja sebagai pemandu teksi di Cameron Highlands.

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Ia terletak setinggi 1,829 meter dari paras laut dan mempunyai suhu antara 18 hingga 24 darjah Celsius.

Pusat peranginan tersebut mendapat nama daripada seorang pegawai Inggeris, William Maxwell William Cameron yang menjalankan kerja-kerja ukur dan membuat peta di kawasan itu pada tahun 1885.
Beliau mendapati kawasan berkenaan mempunyai sebahagian besar tanah yang sedikit rata dan bercerun serta sesuai dijadikan penempatan.

Malangnya, idea itu dipandang sepi sehinggalah dua dekad kemudian seorang pegawai Inggeris, Sir George Maxwell, membangunkan dua buah kawasan yang dikenali sebagai Brinchang dan Tanah Rata iaitu kawasan yang menempatkan pentadbiran dan perumahan pegawai Inggeris. Sekarang, Cameron Highlands menjadi destinasi pilihan kepada pelancong. 

Sumber: Kosmo Online

1 comments:

  • bus to cameron highlands says:
    17 September 2012 at 06:17

    The destinations to Cameron highlands is a beautiful one. You can enjoy your trip to this place

Post a Comment

Site Info

Statistik

Total Pageviews