Perjalanan Dari Tapah Ke Cameron Highlands.

Thursday, 14 April 2011


Jarak perjalanan dari Pekan Tapah ke Tanah Rata, Cameron Highlands adalah sejauh 60 km. Pemanduan akan  memakan masa lebih kurang satu jam setengah. Anda hanya boleh memandu dengan kelajuan antara 40 - 60 km/j sahaja kerana laluan mendaki ini mempunyai banyak selekoh tajam dan jalan yang agak sempit. Pemanduan semakin memakan masa jika anda terpaksa mengekori lori atau bas . Bentuk fizikal jalan seperti ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Di dalam perjalanan anda boleh singgah di Hutan Lipur Kuala Woh yang popular dengan kawasan perkelahan, pusat rekreasi dan kolam air panas semulajadi. Hutan lipur ini terletak kira-kira 13 km dari Pekan Tapah. Tidak jauh dari Hutan Lipur Kuala Woh terdapat sebuah lagi pusat perkelahan yang terkenal iaitu Lata Iskandar. Anda boleh melepaskan lelah di sini kerana air terjun yang cantik ini hanya terletak kira-kira 80 meter sahaja dari jalan utama menuju ke Cameron Highlands. Anda juga pasti tertarik dengan beberapa penempatan kaum pribumi semenanjung yang terdapat di pinggir jalan ini. Anda boleh membeli hasil-hasil hutan seperti petai, madu lebah, orkid hutan, buah-buahan dan lain-lain lagi di 'gerai segera' yang didirikan oleh mereka. Pekan-pekan di daerah Cameron Highlands yang akan ditempuh ialan Ringlet, Habu dan seterusnya Tanah Rata. Bagi anda dan ahli keluarga yang tidak tahan mabuk dengan bentuk jalan mendaki dan banyak selekoh jangan lupa sediakan minyak angin dan beg plastik!



 Perjalanan menuju ke Cameron Highlands dari Pekan Tapah
Sebelah kiri adalah susur keluar ke Lebuhraya PLUS.

Kolam air panas Kuala Woh. Suhu air panas di sini sekitar 41°C.
  Anda boleh merebus telur ayam di sini.


 Malaysia ada baby volcano? Benarkah di sini terdapat gunung berapi yang tidak diketahui.


Kuala Woh mempunyai kemudahan lengkap untuk riadah keluarga atau aktiviti berkumpulan.


Kawasan perkelahan yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur.
Jika bernasib baik anda akan melihat banyak rerama besar yang cantik hinggap di batu-batu.
  

Lata Iskandar. Tempat yang sesuai untuk melepas lelah setelah penat memandu.


Pelbagai barangan kraftangan dijual di sekitar Lata Iskandar.


Berhati-hati ketika mengambil selekoh. Pemanduan lebih sukar ketika hujan.


Secanggih manapun telefon bimbit anda, di sini tiada liputan talian.
Di beberapa kawasan anda akan disambut oleh nyanyian reriang
yang berlagu girang di atas pepohon kayu.


 Perhentian  kebun teh Bharat. 
Di sini anda boleh menikmati pemandangan kebun teh dan merakam kenangan manis.
Anda sudah menjejaki permulaan destinasi tanah tinggi.








0 comments:

Post a Comment

Site Info

Statistik

Total Pageviews